Imam Syafie pernah ditanya oleh isterinya, “Suamiku, apakah engkau mencintaiku?” Beliau menjawab, “Ya tentu saja, dirimu adalah sebahagian dalam hidupku.” Mendengar itu, isterinya bertanya lagi “Apakah engkau juga mencintai Allah? Bagaimana mungkin dua cinta menyatu dalam hati seorang mukmin, Cinta kepada Allah dan juga mencintaiku?” Beliau tersenyum dan mengatakan kepada isterinya dengan pandangan mata yang lembut penuh kasih sayang. “Kerana cintaku kepada Allah, maka aku mencintai makhlukNya, memperlakukan dengan hormat dan penuh kasih sayang terhadap isteriku, anak-anakku dan sesama insan. Aku mencintaimu kerana cintaku kepada Allah.”
Tiada satu pun perkara dalam dunia ini terlepas dari ciptaan Allah. Seandainya kita mencintai seseorang, sedarlah bahawa orang itu juga adalah ciptaan Allah. Maka yang manakah perkara yang lebih layak dicintai? Penciptanya atau penghasilan-Nya? Sudah tentu penciptanya kerana kita sendiri adalah makhluk yang diciptakan-Nya. Mana mungkin kita mampu mempunyai rasa cinta dan kasih sayang seandainya diri tidak dilahirkan ke dunia ini.
Oleh itu adalah satu kesalahan andainya kita tidak sandarkan rasa suka, kasih sayang dan cinta yang kita miliki ini pada Allah yang menciptakan kita semua. Seharusnya rasa cinta yang hadir kepada manusia itu menambahkan lagi rasa cinta kita kepada Allah kerana hal itu telah menyempurnakan hidup kita.
Apabila kita mencintai seseorang kerana Allah, kita akan mendekatkan dirinya kepada Allah. Kita juga mahu dirinya mendekatkan diri kita kepada Allah. Segala salah silap ditegur demi mendapat keredhaan Allah. Bukan membiarkan dirinya hanyut dan leka dalam nikmat dunia. Kita dapat perhatikan ramai manusia membiarkan pasangannya bergelumang dalam kehidupan penuh maksiat sedangkan dalam masa yang sama dia mengaku mencintai pasangannya. Cinta seperti ini bukanlah cinta yang dikehendaki dalam Islam dan inilah contoh gambaran cinta kepada manusia bukan kerana mereka mencintai Allah.
Oleh Syeikh al-Kubrawiyyah.
Asas persahabatan ialah setia dalam bercinta antara satu dengan yang lain dan tulus ikhlas dalam berkasih sayang, dan selagi ia dihalakan kepada Allah dan kerana Allah, maka pahalanya adalah amat besar.
Allah telah berfirman dalam satu hadis Qudsi yang bermaksud:
Pasti mendapat kecintaanKu bagi dua orang yang sayang menyayangi keranaKu, dua orang yang duduk bersama-sama keranaKu, dua orang kunjung mengunjungi keranaKu, dan dua orang yang tolong menolong keranaKu.
FirmanNya lagi dalam hadis Qudsi yang lain bermaksud:
Mana dia orang yang bercinta kerana keagunganKu? Hari inilah Aku akan menaungi mereka di bawah nauganKu, iaitu hari yang tiada naungan selain dari naunganKu.
Rasulullah bersabda yang maksudnya:
Sesiapa yang ingin merasakan kemanisan iman, hendaklah ia mencintai seseorang, tiada mencintainya melainkan kerana Allah.
Apabila seseorang mencintai orang lain, bersahabat dan membiasakan diri dengannya, kerana dilihatnya orang itu mencintai Allah dan taat setia kepada perintah Allah, maka hal demikian itulah yang dikatakan bercinta kerana Allah.
Ataupun jika ia mencintai seseorang itu dan bersahabat dengannya kerana orang itu membantunya di dalam selok-belok agama, dan mengarahkannya untuk taat setia terhadap Tuhannya, maka hal sedemikian itu juga dikira bercinta kerana Allah.
Ataupun jika ia mencinta seseorang itu kerana membantunya dalam urusan keduniaan yang mana dengannya pula ia bisa mengurus urusan akhiratnya, maka itu juga termasuk dalam bercinta kerana Allah.
Ataupun jika ia mencintai seseorang itu dan bersahabat dengannya kerana dirinya merasa senang berkawan dengan orang itu dan dadanya merasa lapang bila duduk bersama-sama dengannya ataupun barangkali orang itu dapat menolongnya di dalam urusan dunianya, dan dalam hal ehwal kehidupannya yang menerusinya ia mampu hidup senang lenang, maka cinta serupa itu adalah cinta tabii, cinta biasa yang tiada kena mengena dengan Allah. Persahabatan itu timbul kerana kecenderungan diri semata-mata dan meskipun demikian ia tetap harus hukumnya, tidak sunyi dari kebaikan mudah-mudahan.
Allah Taala telah berfirman yang bermaksud:
Sahabat-sahabat pada hari itu, satu sama lain akan bermusuhan kecuali orang yang bertaqwa. ( az-Zukhruf:67)
Dipetik dari kitab An-Nashaihu ad-Diniyyah wa al-Washaya al-Imaniyyah: Saiyidina Ghautsul Anam Wa-Dairah Quthubi Rahal Islam Imam Habib Abdullah al-Haddad al-Alawi al-Husaini al-Hadhrami as-Syafie.